Setiap hari kes buli di jalan raya semakin menjadi-jadi, bukan sahaja kerap berlaku di ibu kota Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara. Ini kerana sikap masyarakat kita yang seakan-akan tidak pandai bersabar.
Lebih menyedihkan, sebuah video yang menjadi viral di Facebook baru-baru ini melihatkan seorang warga tua dipukul oleh dua penunggang motosikal dengan menggunakan topi keledar tersebar.
Kes yang dilaporkan berlaku di Kuching, Sarawak itu bermula dengan hanya pemandu kereta membunyikan hon kerana penunggang terbabit menunggang motosikalnya secara berbahaya.
Namun kerana tidak berpuas hati, mereka menunjukkan isyarat lucah dan kemudian memberhentikan kenderaan sehingga berlakunya pergaduhan di tengah jalan raya.
Bagaikan tidak waras, mereka memukul lelaki tua itu dengan topi keledar. Ia sekali gus menunjukkan pembuli jalan raya kini bukan hanya berani menunggang atau memandu secara berbahaya, bahkan boleh mencederakan orang lain.
Sikap seperti ini sepatutnya tidak ada dalam diri masyarakat yang bertamadun. Mereka seharusnya menghormati hak di antara satu sama lain kerana jalan raya dikongsi bersama.
Pergaduhan dan bertikam lidah di antara pengguna jalan raya meningkat sejak akhir-akhir ini mungkin di sebabkan oleh beberapa faktor yang menjadikan mereka berubah.
Antara faktor yang mungkin timbul adalah kesuntukan masa ke tempat kerja, kesesakan jalan raya, tekanan perasaan dan sebagainya yang semua ini dialami oleh mereka yang bekerja atau belajar di bandar besar.
Masalah yang sama juga berlaku di kawasan-kawasan pekan, walaupun mungkin faktornya berbeza tetapi ia menjadi satu masalah kepada pengguna jalan raya lain, bahkan juga membahayakan keselamatan.
Pihak berkuasa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlanjutan, selain tidak menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian masyarakat negara kita.
Kita perlu mengambil contoh di Amerika Syarikat, setiap daripada mereka yang ditangkap atas kesalahan jalan raya sama ada membuli, memandu secara berbahaya dan sebagainya perlu menghadiri kelas kaunseling dan khidmat masyarakat.
Di kelas itulah, mereka akan bertemu dengan pesalah jalan raya yang lain dan secara tidak langsung menginsafkan mereka untuk tidak melakukan lagi kesalahan itu.
Dalam pada itu, kumpulan sokongan juga wajar ditubuhkan, khusus untuk mereka yang mempunyai masalah. Langkah ini diharap dapat membantu mereka mencorak sikap dan cara menghormati orang lain.
Diharapkan masyarakat negara ini akan terus berbudi bahasa dan memiliki sikap hormat menghormati di antara satu sama lain.
Khairul Aris Annuar
Kuching, Sarawak