WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mac 2015
 |
Tiga kereta rosak teruk disebabkan lembu berkeliaran di LPT2. |
 |
Kesemua enam beranak yang menaiki Honda City ini mengalami kecederaan setelah terlanggar bangkai lembu. |
Kenderaan melayang depan mata Kesemua enam beranak yang menaiki Honda City ini mengalami kecederaan setelah terlanggar bangkai lembu.
KEMAMAN - Angkara seekor lembu, sebanyak tiga kereta terlibat dalam nahas menyebabkan kesemuanya remuk hingga dua pemandu dan lima penumpang tercedera.
Kemalangan itu berlaku di Kilometer 302 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dekat susur keluar Tol Kijal, Bandar Seri Bandi dalam kejadian kira-kira jam 8 malam.
Salah seorang mangsa, Muhammad Zharfan Abu Bakar, 21, yang juga penuntut Politeknik Dungun berkata, nahas berkenaan cukup mengerikan kerana dia melihat sendiri sebuah kenderaan melayang depan matanya.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku selepas sebuah Honda Civic yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an tidak dapat mengelak daripada melanggar seekor lembu yang sedang merayau di atas jalan.
Katanya, kebetulan sejurus kemalangan itu, dia yang memandu Proton Waja yang dinaiki dua lagi rakannya melalui kawasan itu dan mendorong mereka memberhentikan kereta di lorong kecemasan untuk menghulurkan bantuan.
“Saya berhentikan kereta kira-kira 10 meter di depan Honda Civic yang tersadai remuk, sementara lembu yang dilanggar berada di tengah jalan.
“Pun begitu, sebaik keluar dari kereta untuk membantu.. kami dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat seperti ledakan bom kerana sebuah lagi kereta iaitu Honda City terlanggar bangkai lembu sebelum kereta itu melayang dan terkena kereta saya di lorong kecemasan,” katanya.
Insiden itu menyebabkan Muhammad Zharfan dan dua lagi rakannya, Muhammad Aiman Nazhim Aidy Amran, 19, dan Muhammad Zulkanain Ismail, 19, tergamam.
Honda City berkenaan dipandu lelaki berusia 40-an yang membawa isteri dan empat anak.
Muhammad Zharfan berkata, mereka bertiga bernasib baik kerana sudah keluar dari kenderaan semasa dilanggar Honda City.
“Kalaulah kami bertiga masih berada dalam kereta, saya tak tahulah apa yang akan terjadi. Saya bersyukur kerana terselamat biarpun kereta remuk,” katanya.
Jelasnya, ketika kejadian dia dan dua rakannya dalam perjalanan dari Politeknik Dungun ke Bandar Cheneh Baru.
Akibat kejadian, pasangan suami isteri itu bersama empat anak mereka cedera termasuk pemandu Honda Civic.
Kesemua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai serta orang awam.