KUANTAN 27 Feb. – Seorang wanita warga Indonesia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3,004 gram di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini, dua tahun lalu.
Ajeng Yulia, 21, yang merupakan seorang juruwang dari Jakarta dijatuhi hukuman itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman selepas tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Wanita tersebut didakwa mengedar dadah berkenaan di Unit Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah kira-kira pukul 11 malam, 10 November 2013.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Berdasarkan keterangan, tertuduh ketika itu berusia 19 tahun mengenali seorang lelaki warga Nigeria bernama Stanley melalui media sosial 'Blackberry Messenger' yang tinggal di New Delhi, India.
Tertuduh mendakwa pergi ke New Delhi dari Jakarta menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) selama empat hari untuk belajar bahasa Inggeris dengan Stanley pada 6 November 2013.
Pada hari terakhir di New Delhi kira-kira pukul 3 pagi, Stanley menyerahkan sebuah beg yang lebih besar kepadanya dengan alasan beg yang dibawanya terlalu kecil untuk mengisi barang-barang yang dibeli di sana.
Menurut Ab. Karim, tertuduh dalam pembelaannya gagal membuktikan kewujudan Stanley dan perkara itu hanya rekaan semata-mata.
“Tertuduh juga tidak memanggil saksi lain untuk menyokong pembelaannya. Malah mendakwa datang ke Kuantan untuk tujuan melancong.
“Mahkamah mendapati adalah tidak munasabah seseorang yang hidup di pedalaman, tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak berpendidikan datang ke negara lain untuk tujuan melancong,” jelas beliau.
Tertuduh yang berbaju warna putih dan berseluar berbunga-bunga kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan kepadanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Mohd. Radzi Shah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam, Aina Safia Azmi.