RABU, 18 FEBRUARI 2015 @ 7:41 PM
ISTANBUL: Ribut salji mengakibatkan jadual penerbangan ditangguhkan di lapangan terbang utama Istanbul dan memaksa penutupan Selat Bosphorus yang menjadi laluan utama kapal laut membawa bijirin dan minyak dari Russia, kata pegawai Turki.
Ribut yang menyebabkan kesesakan di bandar raya dihuni kira-kira 15 juta manusia dan mengakibatkan pengguna pengangkutan awam terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja.
Skuad bola sepak Besiktas turut terperangkap di lapangan terbang. Pasukan itu dijadualkan menentang Liverpool di Britain, esok.
Pegawai agensi lapangan terbang berkata, semua jadual penerbangan di Lapangan Terbang Ataturk ditangguhkan dan tidak dapat dipastikan bila ia akan disambung semula.
Sementara itu, Turkish Airlines, syarikat penerbangan keempat terbesar di Eropah berkata, ia membatalkan 200 penerbangan bagi hari ini dan esok.
Syarikat tambang murah, Pegasus turut membatalkan sebahagian jadual penerbangan.
Selat Bosphorus yang membahagikan Istanbul kepada kawasan Asia dan Eropah turut ditutup di kedua-dua laluan.
Sekurang-kurangnya 13 kapal masih menunggu untuk memasuki selat berkenaan dan dijangka meneruskan pelayaran esok.
Selat Dardanelles di hujung Sungai Marmara pula masih dibuka.
Pihak berkuasa maritim terpaksa menutup Selat Bosphorus, laluan laut tunggal bagi membawa komoditi Russia, berikutan jarak penglihatan yang kurang baik dalam musim sejuk menyebabkan kos kargo meningkat.
Kira-kira 10,000 kapal tangki yang membawa kira-kira 150 juta tan produk petroleum melalui selat sempit itu setiap tahun. - Reuters