Struktur kekal yang dibina untuk aktiviti perniagaan urut oleh warga asing dirobohkan DBKL. |
Penemuan itu sekali gus menjadi bukti dakwaan penduduk tempatan bahawa terdapat aktiviti tidak bermoral yang ditawarkan di premis-premis berkenaan.
Penolong Pesuruhjaya Penguat kuasa DBKL, Osman Ismail berkata, menerusi operasi itu, sebanyak sembilan premis urut yang kesemuanya mempunyai 28 bilik, diserbu dan disita.
Menurutnya, tujuh struktur khemah yang dibina secara kekal di bahu jalan juga dirobohkan dan operasinya dijalankan oleh warga asing.
“Barang-barang seperti tilam dan minyak urut termasuk minyak untuk alat kelamin antara yang ditemui dan kita sita semuanya.
“Kesemua aktiviti urut tidak berlesen dan pembinaan pengadang dalam premis tanpa kebenaran menyalahi undang-undang dan tindakan di bawah Jabatan Reka Bentuk Bangunan,” katanya.
Struktur khemah kekal didapati menyebabkan halangan dirbohkan bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan.
“Sebelum ini tindakan sama telah dibuat bagi struktur yang dikendalikan warga asing. Manakala struktur lain yang dikendalikan warga tempatan terlibat dengan program pemindahan,” katanya.
Menerusi operasi itu juga, tiga warga asing ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Seramai 157 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen, dan jabatan-jabatan berkaitan DBKL, terlibat.
Dalam pada itu, Osman berkata, menerusi dua siri operasi yang dilakukan di Jalan Petaling dan Pasar Pudu sejak awal Januari lalu, sebanyak 19 notis kompaun telah dikeluarkan dan 13 sitaan dibuat.
“Enam warga negara tidak berlesen juga dikenakan tindakan serta lima warga asing,” katanya.