Mangsa membuat laporan di Balai Polis Central selepas kejadian malam kelmarin. |
Mangsa berusia 57 tahun dikatakan sedang melihat peta untuk pulang ke hotel sebelum didatangi seorang lelaki dari arah belakang kira-kira jam 11.30 malam.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang memakai topi kaledar bercermin gelap merampas beg tangan dengan memotong talinya menggunakan pisau.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, selepas mendapat beg itu, lelaki berkenaan melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian.
Beliau berkata, mangsa yang baharu tiba di sini kelmarin cedera ringan di bahagian tangan.
"Mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana memakai topi keledar visor gelap selain kejadian berlaku terlalu pantas.
"Antara barang yang dilaporkan hilang adalah sebuah kamera digital, telefon pintar, Ipad, berus gigi elektrik dan cermin mata," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Central selepas kejadian dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.
Polis masih memburu suspek dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata.