Kuala Lumpur
Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan waran tangkap dikenakan terhadap sepasang suami isteri yang didakwa atas tuduhan memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun tiga penumpang serta seorang anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 membabitkan wang berjumlah RM85,180, selepas mereka gagal hadir dalam prosiding semalam.
Hakim Norsharidah Awang mengeluarkan perintah itu selepas dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud bahawa Nur Shila Kanan dan Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed serta penjamin mereka gagal dihubungi.
Selain mengeluarkan waran tangkap, Hakim Norsharidah juga mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap penjamin mereka.
Oleh itu mahkamah menetapkan 4 Februari ini untuk sebutan semula.
Pada 20 Ogos lalu, Nur Shila, 33, dan Basheer Ahmad Maula, 33, masing-masing tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan.
Nur Shila berhadapan dengan 12 pertuduhan manakala Basheer Ahmad pula menghadapi tiga pertuduhan.
Nur Shila menghadapi empat pertuduhan memindahkan wang milik Hue Pui Heng keseluruhan berjumlah RM40,000 ke dalam akaun Tian Jun Wei dan RM35, 000 kepada Ali Faran Khan.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang boleh dihukum denda maksimum RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau keduanya jika disabit kesalahan.
Nur Shila turut menghadapi tiga pertuduhan lain, menggunakan dokumen palsu iaitu borang permohonan baru kad debit atas nama Tian dan dua borang pindahan tempatan akaun simpanan atas nama, Ju Kun dan anak kapal, Tan Size Hiang.
Selain itu, dia turut didakwa menggunakan dokumen palsu, iaitu Borang Permohonan Perbankan Internet atas nama Judy Margaret Lai untuk mendapatkan ‘Security Device’ bagi mengaktifkan perkhidmatan perbankan Internet.
Bagi empat-empat kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau keduanya jika disabit kesalahan.
Selain itu, dia juga menghadapi dua pertuduhan lain, iaitu didakwa menipu dua penyelia bank, Nor Aini Derus @Mat Rose dan Mohd Fazli Mokhtar untuk mempercayai permohonan baru kad debit bagi akaun simpanan Tian dan Judy dibuat oleh pemohon sendiri.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya jika disabit kesalahan.
Ibu kepada tiga anak itu turut didakwa dengan dua pertuduhan mencuri wang berjumlah RM2,530 daripada akaun Ju Kun dan Tan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali, jika disabit kesalahan.
Semua kesalahan itu didakwa berlaku di bank HSBC tempat dia bekerja di cawangan Lebuh Ampang, di sini antara 14 Mei dan 8 Julai lalu.
Sementara itu, Basheer yang bekerja sebagai mekanik pula didakwa terhadap empat pertuduhan menggunakan kad debit akaun simpanan Tian untuk mengeluarkan wang berjumlah RM7,650 dalam tiga transaksi berasingan dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997.