PASIR SALAK 9 Jan. - “Saya sedar, dua hari lagi sekolah akan dibuka, tetapi jangankan nak beli baju sekolah anak-anak, belanja kami sekeluarga pun duit tak ada.”
Begitu luahan Mohamed Munir Cheri, 57, seorang nelayan dari Kampung Sejagop dekat sini yang terjejas teruk akibat banjir.
Menurutnya yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah, hal pakaian dan kelengkapan persekolahan anak-anak bukan lagi menjadi keutamaan mereka sekeluarga ketika ini kerana mahu menguruskan rumah dan harta benda yang rosak ditenggelami air.
Katanya, sejak banjir melanda kampung itu kira-kira dua minggu lalu, dia tidak dapat turun ke sungai menangkap ikan kerana arus deras selain kebun kepunyaannya turut tenggelam.
“Jika dulu saya dapat pergi menangkap ikan atau ke kebun kelapa sawit. Namun sejak dua minggu lalu, saya hanya duduk di sini, apa pun tidak boleh buat.
“Kami bukan orang senang. Tengoklah, apa yang ada nanti, mereka pakailah sebab baju lama pun sudah habis dihanyutkan air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Mohamed Munir, isteri dan dua anak perempuannya telah berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Menengah Sungai Ranggam dekat sini sejak rumah mereka tenggelam manakala dia dan dua anak lelakinya memilih untuk tinggal di dalam khemah yang didirikan di hadapan rumah mereka.
“Setakat air dan barang makanan, memang banyak orang beri termasuk yang lalu lalang di jalan ini. Tetapi barang lain macam baju sekolah atau benda lain, tidak ada.
“Sedangkan benda itu juga amat kami perlukan. Kalau hendak beli sendiri, duit pula tiada,” katanya sebak.
Sementara itu, seorang ibu, Zairoha Nee, 45, dari Kampung Pulau Tiga kiri dekat sini berkata, meskipun hanya seorang anaknya yang bersekolah tahun ini, akibat terjejas banjir, dia dan suaminya belum dapat membeli kelengkapan untuk anaknya itu.
Kata Zairoha, wang simpanan mereka akan digunakan untuk membeli barang keperluan seharian yang habis rosak akibat banjir yang menenggelamkan rumah mereka hingga paras bumbung, 24 Disember lalu.
“Walaupun air sudah surut, rumah kami masih pada paras pinggang. Barang-barang rumah pun habis hanyut dan rosak, satu apa pun tidak dapat diselamatkan.
“Ketika ini, semua keperluan ada kerana kami tinggal di pusat pemindahan. Tetapi bayangkan apabila kami pulang ke rumah nanti. Semuanya kena beli baharu. Jadi lebih elok wang yang ada kami gunakan untuk membeli barang yang lebih penting,” katanya.
Menurut Zairoha, setakat ini, hanya sebuah beg sekolah dimiliki anaknya hasil sumbangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya harap, ada pihak yang prihatin dapat menyumbangkan pakaian dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak kami yang terjejas banjir. Kebanyakan kami hanya sehelai sepinggang ketika keluar dari rumah semasa bencana itu berlaku,” katanya.