Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 12.15 tengah malam di Sentul, Wangsa Maju, polis menahan seorang lelaki warga Nigeria di hadapan sebuah bank.
Beliau berkata, suspek ditahan selepas menyerahkan wang sebanyak RM1,000 kepada seorang wanita tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai membantu membuka tiga akaun bank dan mendaftar dua syarikat bagi membolehkan transaksi wang hasil jenayah itu dilakukan.
Menurutnya, ekoran tangkapan tersebut, pihaknya menyerbu dua lokasi yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan terbabit iaitu di Kondominium Sri Putramas di sini dan Cyberjaya.
“Di Sri Putramas, kita berjaya menahan seorang perempuan Filipina manakala di Cyberjaya pula, enam lelaki dan dua wanita warga Nigeria ditangkap.
“Kesemua suspek berkemungkinan menyamar sebagai penjual jentera dan menghantar e-mel kepada ahli perniagaan tersebut untuk meminta bayaran bagi jentera yang dihantar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, bagaimanapun selepas beberapa bulan, jentera tersebut tidak diterima dan menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu.
Ujarnya, susulan daripada itu, mangsa datang ke negara ini dan membuat laporan polis pada 9 Disember lalu berikutan transaksi duit dilakukan menerusi bank di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.