Search This Blog

Sunday, December 20, 2015

Terlepas pesawat

Sepang: Gangguan sistem daftar masuk perjalanan dan bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selama 30 minit pagi semalam menimbulkan kekecohan sehingga ada penumpang terlepas penerbangan.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati ratusan penumpang terkandas, malah ada yang terlepas penerbangan terutama bagi penerbangan antarabangsa dan domestik.
Bagaimanapun, keadaan kembali normal dan terkawal apabila sistem pulih kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Seorang penumpang AirAsia Lizawati Ngadni, 36, berkata, dia terlepas pesawat ke Kuching, Sarawak disebabkan gangguan sistem berkenaan.
“Pada mulanya, saya dan suami sudah berputus asa, namun seorang kakitangan AirAsia meminta kami ke kaunter perkhidmatan mendapatkan tiket baru.
“Alhamdulillah, tiket kami digantikan dan dibenarkan berlepas hari ini (semalam). Walaupun terpaksa beratur lebih sejam, usaha kami berbaloi dan dapat meneruskan percutian ke Kuching,” katanya, semalam.
Wahidah Harun, 44, berkata, dia terpaksa berpatah balik ke klia2 dari rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan apabila ibunya terlepas penerbangan akibat kesesakan itu.
“Sepatutnya, pesawat ibu saya untuk ke Aceh, Indonesia pada jam 1.15 tengah hari hari ini (semalam), tetapi akibat kesesakan berikutan gangguan sistem itu, keadaan menjadi kelam kabut dan terpaksa beratur lebih sejam hanya untuk mendaftar masuk.
“Akibatnya, ibu terlepas pesawat dan tiketnya digantikan untuk penerbangan pada 7.45 pagi esok (hari ini),” katanya, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:18 AM


KEADAAN kaunter AirAsia yang sesak di klia2, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101337#sthash.3eeR8Fzw.dpuf

No comments:

Post a Comment