AFP - SEORANG lelaki menolak basikal tiga rodanya meredah banjir selepas hujan lebat di Chennai, India kelmarin.
CHENNAI – Hujan paling lebat dalam tempoh 100 tahun menyebabkan banjir besar di negeri Tamil Nadu, selatan India dengan beribu-ribu orang dipindahkan, kilang-kilang ditutup manakala lapangan terbang di ibu negeri Tamil Nadu, Chennai turut lumpuh.
Chennai yang dihuni 6 juta penduduk merupakan bandar keempat terbesar di India.
Kota raya itu merupakan hab industri automotif dan teknologi maklumat untuk beberapa syarikat antarabangsa seperti Ford Motor, BMW AG, Infosys, Tata Consultancy Services serta Cognizant Technology Solutions Corp.
Beribu-ribu kilang di pinggir Chennai terpaksa ditutup selepas air bah menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menenggelamkan sekurang-kurangnya sebuah landasan di lapangan terbang utamanya.
Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan memberitahu pagi semalam bahawa sekitar 35 penerbangan dibatalkan.
“Kami telah menggerakkan operasi menyelamat tetapi cabaran terbesar ialah mencari jalan untuk memulihkan lapangan terbang dan beberapa jalan utama yang ditenggelami air,” kata pegawai kanan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan di New Delhi, Anurag Gupta.
Terdahulu, Perdana Menteri Narendra Modi mengarahkan pasukan penyelamat dan separa tentera melancarkan operasi menyelamat serta pengagihan bantuan di Chennai.
Dalam perkembangan berkaitan, beratus-ratus penyelam dan anggota pasukan tentera memasuki rumah yang ditenggelami air dan membawa mangsa yang cedera ke hospital.
Pihak berkuasa berkata, lebih sejuta orang terjejas dalam banjir kali ini dengan sebahagian penduduk mengadu pasukan penyelamat lambat bertindak. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3tDZdmsBg
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment