Pekerja sebuah syarikat telekomunikasi berusia 46 tahun itu turut melaporkan kehilangan wang tunai RM200 dan koleksi pelbagai mata wang asing yang diletakkan di dalam laci bilik tidurnya selepas menyedarinya pada pukul 11 malam hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihak­nya telah melakukan pemeriksaan selepas mangsa mengadu rumah­nya dipecah masuk, namun selepas mendapati tiada kesan umpilan atau rosak, dia mengesyaki suspek melakukan jenayah itu.
“Suspek dipercayai mencuri telefon bimbit berkenaan semasa ketiadaan bapanya.
“Siasatan mendapati, telefon tersebut telah dijual kepada rakan suspek dengan harga RM400. Suspek kemudian ditahan pada Isnin lalu bersama dua lagi rakannya yang berusia 20 tahun dan 27 tahun di hadapan Wangsa Walk,” katanya.
Menurut Mohamad Roy Suhaimi, tangkapan dilakukan selepas bapanya memaklumkan bahawa suspek tidak pulang ke rumah selama dua hari.
Ujarnya, suspek yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, siasatan mendapati telefon tersebut dijual kepada dua lelaki yang bekerja sebagai penjual telefon bimbit di Wangsa Walk dan kini pihaknya sedang berusaha mengesan gajet itu yang telah dijual kepada pihak yang lain.
Tambahnya, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif ujian dadah.