Mohamad Roy Suhaimi Sarif
Kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 40 tahun itu ditahan sejak 28 Oktober lalu dan mereka dipercayai telah merompak lima warga tempatan yang tampil membuat laporan polis selepas mengalami kerugian keseluruhan kira-kira RM2 juta.
Turut ditahan bersama kesemua suspek yang dipercayai daripada kumpulan yang berbeza ialah tiga warga tempatan yang bersubahat dengan mereka.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kumpulan warga Afrika itu pada mulanya mempromosi emas dan pertukaran mata wang asing kepada mangsa melalui laman sosial sebelum me­netapkan tarikh untuk menunjukkan barangan tersebut.
Menurutnya, bagi meyakinkan orang awam tentang perniagaan yang dilakukan itu, beberapa wanita warga tempatan diupah untuk berurusan dengan mangsa.
“Pada hari pertemuan, mangsa diminta menaiki sebuah kereta yang dipandu wanita tempatan untuk ke satu lokasi namun dalam perjalanan kenderaan tersebut diberhentikan di suatu tempat sebelum sekumpulan suspek warga Afrika menyerang dan merompak mereka.
“Wanita yang diupah itu kemudian menaiki sebuah lagi kenderaan yang dipandu kumpulan suspek berkenaan untuk melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohamad Roy Suhaimi, berdasarkan siasatan, kesemua suspek yang ditahan bukan daripada kumpulan yang sama tetapi mereka melakukan modus operandi yang serupa.
Mengulas lanjut, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat beberapa lagi kumpulan warga Afrika yang melakukan kegiatan jenayah yang sama dan masih bebas.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila melakukan urusan dengan warga asing terutama warga Afrika bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku, selain menyeru orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan daripada mana-mana balai polis berhampiran.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” tambahnya.