Search This Blog

Saturday, December 26, 2015

Polis Indonesia tangkap pengebom berani mati


SEORANG anggota tentera bersama anjing pengesan melakukan pemeriksaan di atas sebuah gerabak di stesen kereta api Gubeng, Surabaya, Indonesia kelmarin. - REUTERS


JAKARTA – Polis Indonesia menangkap dua lelaki termasuk seorang daripada etnik minoriti Uighur China yang dipercayai merancang me­lakukan serangan berani mati ketika sambutan Tahun Baharu di Jakarta.
Polis sebelum itu menahan warga Indonesia, Arif Hodayatullah, berdekatan ibu kota kerana memandu kereta tanpa plat berdaftar sebelum menemui beberapa buah buku mengenai cara membuat bom di dalam keretanya.
Skuad antipengganas kemudian menyerbu rumah Arif di Jawa Barat dan menahan seorang lelaki Uighur dikenali sebagai Alli selain merampas sehelai jaket membunuh diri bersama bahan letupan.
“Kami turut menemui satu pelan tindakan bagaimana serangan itu akan dilaksanakan dan siasatan lanjut mengenai perkara itu sedang dilakukan,” kata jurucakap polis negara, Anton Charliyan.
Pada Isnin lepas, polis Indonesia menangkap lima suspek yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan Islamic State (IS) dan empat lagi dikaitkan dengan jaringan pengganas Jemaah Islamiyah.
Indonesia menempatkan lebih 150,000 askar dan polis ketika sambutan Krismas dan Tahun Baharu selain peningkatan tahap keselamatan di lapangan terbang selepas satu ancaman ditujukan ke Jakarta.
Sumber polis memberi­tahu, Alli dipercayai merupakan seorang pembuat bom dan dipilih untuk mela­kukan misi serangan berani mati.
Arif memberitahu polis bahawa dia diarahkan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Bahrunnaim, seorang ahli militan dari Syria untuk membantu penduduk Indonesia yang ingin me­nyertai kumpulan IS. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3vNEalZ6w 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment