Search This Blog

Saturday, December 26, 2015

Pengarah PERHILITAN Johor ditahan

SABTU, 26 DISEMBER 2015 @ 11:17 AM

 Oleh S Anand Kumar anand@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor ditahan malam tadi, selepas dipercayai mencuri sumbu badak berusia 100 tahun milik Muzium Diraja Johor.  Difahamkan, suspek berusia 46 tahun yang memulakan tugas di negeri ini pada Ogos lalu selepas bertukar dari Terengganu, didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Bangunan Sultan Ibrahim, Jalan Bukit Timbalan di sini, kira-kira jam 2.30 petang pada 19 Oktober lalu.  Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, kira-kira jam 9 malam.  Beliau berkata, kehilangan sumbu badak itu disedari oleh kakitangan muzium berkenaan selepas mendapati barangan terbabit yang dijemur di hadapan bangunan hilang pada kira-kira jam 2.30 petang.  "Hasil siasatan dan penelitian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan pada hari kejadian mendapati barangan berkenaan diambil oleh suspek.  "Ketika kejadian, suspek dikatakan baharu selesai menghadiri mesyuarat bersama beberapa agensi lain di bangunan berkenaan, dan dipercayai ketika mahu pulang dia berbuat demikian dengan memasukkan sumbu badak itu ke dalam keretanya," katanya.  Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, sebentar tadi.  Wan Ahmad Najmuddin berkata, barangan itu diserahkan suspek menerusi pemandunya kepada pihak pengurusan muzium dua hari selepas kejadian pada jam 8.15 pagi dengan keadaan baik.  "Pada mulanya suspek tidak mengaku mengambil barangan berkenaan, bagaimanapun rakaman wajah suspek dalam CCTV mengukuhkan lagi bukti siasatan polis, dan malam tadi suspek menyerah diri di IPD JBS," katanya.  Beliau berkata, barangan berkenaan disimpan suspek selama dua hari di pejabatnya dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.  Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/108401

No comments:

Post a Comment