Kumpulan Jawatankuasa Anti Diskriminasi Arab Amerika akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri hari ini bagi menilai langkah-langkah keselamatan selepas serangan di sebuah parti mengorbankan seramai 14 orang dan mencederakan sebanyak 21 orang di daerah yang mempunyai populasi Arab dan Islam yang ramai.
“Sudah tentu timbul ketakutan akibat reaksi tindak balas dan itu lah realiti yang perlu kita hadapi,’’ kata pengarah undang-undang dan dasar bagi kumpulan hak asasi manusia berkenaan, Abed Ayoub.
Ayoub berkata, meskipun masih tiada laporan akan serangan balas dendam ke atas serangan bersenjata yang dilakukan suspek, Syed Farook, 28, dan isterinya, Tashfeen Malik, 27, adalah penting bagi komuniti Islam di daerah itu supaya berwaspada.
“Kami perlu kekal berwaspada tambahan serangan pengganas di Paris beberapa minggu lalu dan kesan akibat kejadian itu,’’ katanya yang merujuk serangan berdarah di Perancis yang meragut nyawa sebanyak 130 orang dan dipercayai didalangi kumpulan Negara Islam (IS).
Pemimpin-pemimpin dan penduduk Islam di San Bernardino melahirkan rasa terkejut mereka akan serangan tembakan rambang itu di sebuah pusat perkhidmatan sosial di bandar ini.
Beberapa media AS yang memetik kenyataan pihak berkuasa percaya, Farook berubah menjadi seorang radikal dan mempunyai kenalan dengan suspek pengganas di luar negara.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Imam Masjid Dar Al Uloom Al Islamiyah di daerah ini Mahmood Nadvi, 39, dengan mendakwa, mereka tidak pernah melihat tanda yang luar biasa pada Farook.
Sementara itu, Ketua Polis San Bernardino, Jerrod Burguan berkata, polis yang menggeledah rumah sewa suspek menemukan sebanyak 12 bom paip dan hampir 5,000 butir peluru.
Portal al-Jazeera melaporkan, Masjid Manassas di Virginia, semalam menerima satu mesej suara daripada lelaki tidak dikenali mengancam membunuh jemaah di masjid itu sebagai balasan terhadap mangsa-mangsa terbunuh di San Bernardino. – AFP/DPA/Agensi