Search This Blog

Saturday, December 26, 2015

Penantian berakhir khabar duka

Kuala Terengganu: "Pagi tadi kakak sepatutnya mengambil Along di hentian bas tetapi Along tak sampai-sampai sehinggalah jam 7 pagi tadi kami dikejutkan dengan panggilan daripada hospital memberitahu dia meninggal dunia.
"Kami semua terkejut dengan berita itu dan terus ke Hospital Jeli," kata Muhammad Zulhilmi Naim Azmi, 16, adik kepada Mohd Syafiq Azrul, 25, seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan lori di Kilometer 124, Batu 14 Jalan Raya Timur Barat Jeli - Gerik jam 1.30 pagi semalam.
Menurut Muhammad Zulhilmi, arwah abangnya yang dipanggil Along sepatutnya tiba di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pagi tadi dan meminta kakak mengambilnya di hentian bas berkenaan.
Katanya, sehingga siang mereka tidak menerima panggilan telefon daripada abang menyebabkan keluarganya berada dalam keadaan bimbang kejadian buruk menimpa anak sulung daripada lapan beradik itu.
"Dua hari lepas Along ada beritahu melalui WhatsApp yang dia bertukar ke tempat kerja baru.
"Along bekerja sebagai jurutera pengeluaran di Pulau Pinang dan sementara memulakan tugas di kilang baru pada Januari ini, dia mengambil cuti panjang untuk bersama keluarga di kampung.
"Kami adik-beradik tak sabar untuk bertemu Along dan kali terakhir berjumpa dengannya pada Aidiladha lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Mohd Syafiq Azrul di Tanah Perkuburan Islam Tok Khatib Siput, Kampung Kubang Kekura, Kuala Bekah, di sini, 11.30 malam tadi.
Katanya, selepas menaiki bas, ibunya, Rohana Mamat, 69, menghubungi abangnya tetapi tidak berjawab dipercayai sedang tidur.
Menurutnya, abangnya sudah hampir dua tahun bekerja di Pulau Pinang dan kali terakhir pulang ke kampung ketikasambutan Aidiladha lalu.
"Setiap kali balik, Along memang naik bas dan jarang dia memandu kerana jarak perjalanan jauh.
"Kami menerima dengan reda ketentuan Ilahi," kata anak keenam daripada sembilan beradik itu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2015 @ 2:22 AM


Jenazah Mohd Syafiq diusung untuk dikebumikan. FOTO Aswadi Alias

No comments:

Post a Comment