Search This Blog

Wednesday, December 2, 2015

Panik latihan keselamatan punca seorang maut, 37 cedera



REUTERS - SEBAHAGIAN pelajar berkumpul selepas seorang pensyarah terbunuh di Universiti Strathmore di Nairobi pada Isnin lalu.


NAIROBI – Seorang staf terbunuh, manakala 37 orang cedera selepas satu latihan keselamatan di sebuah universiti di Nairobi, Kenya disangka serangan pengganas sekali gus mencetuskan situasi panik kelmarin, kata pihak universiti berkenaan.
Pengarah Komunikasi Universiti Strathmore, Betty Ngala berkata, seorang kakitangan wanita berumur 33 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut polis, pihaknya hanya melakukan latihan keselamatan tetapi beberapa gambar menunjukkan sebilangan pelajar yang ketakutan berdiri di tingkap universiti berkenaan, dekat pusat bandar Nairobi.
“Kira-kira 15 orang memerlukan rawatan di hospital selepas insiden ini, sementara 22 lagi cedera ringan,” kata Ngala.
Menurutnya, kebanyakan mangsa mengalami patah tulang selepas terjun dari bangunan universiti itu.
Menurut beberapa pelajar, mereka bergegas untuk menyelamatkan diri kerana terkejut mendengar bunyi tembakan.
Sementara itu, pihak Universiti Strathmore memberitahu dalam satu kenyataan bahawa latihan keselamatan itu bertujuan untuk menguji tahap persediaan warga kampus dalam menghadapi serangan dan ancaman lain.
“Malangnya, para pelajar panik,” menurut kenyataan tersebut.
Situasi panik itu berlaku ketika pelajar di Kenya dihantui beberapa serangan kejam yang dilakukan oleh kumpulan militan Shebab termasuk pembunuhan beramai-ramai 148 orang di Universiti Garissa pada April lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3t7K1dXT9 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment