Search This Blog

Saturday, December 26, 2015

Nahas Jeli: "Mak terlalu rindukan cucu"

JUMAAT, 25 DISEMBER 2015 @ 7:55 PM

 Oleh Nur Izzati Mohamad

BUKIT MERTAJAM: "Mak, ayah dan adik ke Terengganu kerana terlalu rindu dengan cucu sulung keluarga kami, Ahmad Eaden Yusuff Ahmad Idris, yang baru berumur 33 hari. Tidak sangka is berakhir dengan tragedi," kata Rusifah Abdul Rahim, 33, ketika ditemui di Kampung Alma, di sini. Rusifah ialah anak sulung kepada Hasiah Osman, 57, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan dekat Kilometer 14 Jalan Jeli-Gerik, awal pagi ini. Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah adik bongsu Rusifah, Amir Abdul Rahim, 16, manakala bapanya, Abdul Rahim Hashim, 68, tidak mengalami kecederaan. Rusifah berkata, sebelum bapa, ibu dan adik bongsunya bertolak ke Terengganu dengan menaiki bas kira-kira jam 10.30 malam semalam, dia ada menghantar beberapa pesanan mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada adik bongsunya. Katanya, dia memaklumkan supaya adik bongsunya memberitahunya apabila tiba di lokasi yang dituju, namun terkejut apabila menerima panggilan daripada bapanya kira-kira jam 1.50 pagi tadi memaklumkan mengenai kemalangan itu. "Sebelum kejadian, saya ada menghubungi mak dan dia memberitahu ingin melihat cucu di Terengganu kerana sudah terlalu rindu sejak ke sana bulan lalu," katanya. Rusifah yang menetap di Puchong, Selangor bergegas pulang ke kampung bersama suaminya sebaik dimaklumkan berita mengenai kejadian yang menimpa ahli keluarganya. "Ayah hanya memaklumkan bahawa mak dan adik sudah tiada, namun panggilannya terus terputus hingga saya tidak sempat menyoal apa-apa. Saya terus bergegas pulang ke sini," katanya. Dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi, bas yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak menghala ke Kuala Terengganu terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan papan lapis dari arah bertentangan, mengakibatkan empat maut dan 26 lagi cedera. Selain Hasiah dan anak bongsunya, dua penumpang lain yang terkorban dalam nahas itu adalah Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19 dan Mohd Syafik Azrol Azni, 25, dari Terengganu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/108349

No comments:

Post a Comment