Wiyang Lautner sempat menggunakan telefon bimbit ketika cuba untuk keluar daripada kereta Lamborghini miliknya yang remuk selepas kemalangan. AGENSI
SURABAYA 2 Dis. – Seorang lelaki dirakam masih lagi mampu menaip mesej walaupun tersepit di dalam kereta mewah Lamborghini miliknya yang mengalami kemalangan sehingga menyebabkan seorang maut, manakala dua lagi cedera.
Mail Online melaporkan, Wiyang Lautner, 24, dirakam oleh saksi kejadian menaip mesej dan bercakap dengan telefon bimbit ketika cuba untuk keluar daripada kereta yang remuk.
Wiyang kemudian ditahan atas kesalahan berlumba dengan sebuah kereta Ferrari sebelum hilang kawalan dan melanggar satu pasangan pertengahan umur serta seorang peniaga tepi jalan di sini, baru-baru ini.
Polis berkata, mereka yang cedera dikenali sebagai Mujianto, 44, dan Srikanti, 41, manakala Kuswanto, 51, maut selepas diheret beberapa meter oleh kereta Lamborghini itu sebelum berlanggar dengan sebatang pokok.
“Ketika kejadian, Mujianto bersama isterinya Srikanti yang berasal dari kampung berhampiran sedang membeli susu daripada peniaga tepi jalan sebelum secara tiba-tiba mereka dilanggar.
“Siasatan kini sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan yang dipercayai akibat daripada lumba haram,” kata polis.
Jurucakap Balai Polis Surabaya, Lily Djafar berkata, sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh daripada tempat kejadian turut rosak selepas dilanggar kereta mewah berkenaan.
No comments:
Post a Comment