Seorang penduduk berjalan di hadapan sebuah rumah yang roboh akibat dibadai Taufan Melor di sepanjang bandar Bulusan, wilayah Sorsogon, selatan Manila, Filipina, semalam. AFP
MANILA 16 Dis. - Bandar raya Manila lumpuh apabila banjir menjejaskan perkhidmatan kereta api dan menyebabkan kesesakan lalulintas ekoran Taufan Melor, dengan jumlah korban turut meningkat kepada sembilan orang, manakala beratus-ratus yang lain terpaksa bermalam di atas bumbung kediaman.
Taufan Melor yang juga dikenali sebagai Taufan Nona itu berlaku kira-kira 150 kilometer di barat laut kepulauan Mindoro, selatan Manila dengan membawa angin kencang selaju 130 kilometer sejam.
Gabenor Mindoro, Alfonso Unali dalam temubual di radio memaklumkan bahawa Taufan Melor adalah satu daripada taufan paling kuat membadai wilayah itu, tahun ini yang meragut nyawa empat penduduk.
Sementara itu, pegawai bencana, Jonathan Baldo berkata, lima lagi mangsa terkorban di wilayah Samar, di mana lokasi pertama Taufan Melor membadai menyebabkan kira-kira 90 peratus kawasan di wilayah itu terjejas.
“Ramai penduduk yang akan menyambut Krismas tahun ini di pusat-pusat pemindahan tanpa bekalan elektrik dan bekalan air bersih,” ujarnya.
Katanya, usaha menyambung bekalan elektrik di wilayah itu akan mengambil masa yang panjang iaitu antara tiga atau empat bulan akibat dilanda angin kencang.
Dalam pada itu, sebanyak lima nelayan dilaporkan hilang di Teluk Albay, kawasan yang dipenuhi penduduk di kepulauan Luzon.
Cuaca buruk juga memaksa kira-kira 120 penerbangan domestik dibatalkan dan hampir 200 perkhidmatan feri terpaksa ditangguhkan buat sementara.
Taufan kali ini memaksa lebih 800,000 penduduk dipindahkan, ketika satu lagi taufan dijangka membadai selatan negara ini minggu ini, kata peramal kaji cuaca.
– REUTERS
No comments:
Post a Comment