Search This Blog

Tuesday, December 29, 2015

Kebakaran hutan, lebih 100 rumah hangus di Australia




API kelihatan marak membakar hutan di Sungai Wye, dekat Lorne, selatan Melbourne kelmarin. - REUTERS


MELBOURNE – Lebih 100 rumah dijilat api di sebuah kawasan pelancongan terkemuka di Australia akibat kebakaran hutan yang merebak dengan pantas ekoran musim panas sekarang ini.
Keadaan itu menyebabkan kira-kira 150 orang ahli bomba terpaksa melupakan sambutan Krismas kelmarin bagi memadamkan kebakaran di kawasan tumpuan pelancong di Great Ocean Road, Victoria.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan negeri memberi­tahu, 85 buah rumah disahkan terbakar di Sungai Wye dan 18 lagi berdekatan Separation Creek dengan jumlah keseluruhan sebanyak 103 di kedua-dua perkampungan yang terletak 120 kilometer dari Melbourne.
Pihak berkuasa memberikan amaran bahawa keadaan ke­ring akan menyebabkan lebih banyak kebakaran di kawasan Great Ocean Road dan seluruh Victoria.
“Kebakaran ini akan berte­rusan sehingga Januari dan Februari depan. Kita akan berdepan dengan cuaca panas, berangin pada Januari dan lebih banyak kawasan akan terbakar,” ujar Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan, Craig Lapsley.
Walaupun amaran pemindahan telah ditarik balik di bandar tumpuan pelancong, Lorne, selain keadaan hujan pada sebelah malam yang membantu operasi pasukan bomba, pihak berkuasa memberitahu bahawa kebakaran itu terlalu besar.
Kebakaran dipercayai bermula dengan sambaran kilat pada 19 Disember lepas dan bantuan tiupan angin menyebabkan api merebak sehingga memusnahkan lebih 2,000 hektar hutan. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3vhek8IKS 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment