Peguam yang mewakili keluarga Syed Rizwan Farook yang merupakan penyerang kejadian tersebut, David Chesley berkata, media dan pihak berkuasa segera memaparkan penyerang merupakan penganut Islam manakala kejadian tembakan oleh penyerang bukan Islam sebelum ini tidak pula disebutkan agama mereka.
"Dia (Farook) adalah individu yang tidak bercampur dengan orang lain dan tidak mempunyai kawan.
"Apabila seorang penganut Kristian menyerang sebuah klinik pengguguran bayi, tajuk utama be-rita tidak menyatakan pelampau Kristian Katholik seperti mana tajuk yang mengatakan pembunuhan beramai-ramai oleh penganut Islam atau Penembak Islam,’’ katanya sebagaimana lapor al Jazeera.
Sebanyak 14 orang terbunuh manakala 21 lagi cedera selepas Syed Rizwan dan isterinya, Tashfeen Malik didakwa menyerbu sebuah parti di San Bernardino yang dihadiri rakan sekerjanya dan melepaskan tembakan pada Selasa lalu sebelum mereka ditembak mati polis.
Dalam pada itu, seorang pensyarah undang-undang yang berpangkalan di AS, Khalid Beydoun memberitahu, walaupun terdapat 'elemen keganasan’ dalam komuniti Islam Amerika namun beliau menyatakan perkara itu turut terdapat dalam etnik atau kumpulan agama lain di negara berkenaan.
Beydoun berkata, lebih daripada 350 jenayah berkaitan senjata tahun ini di Amerika dilakukan lelaki berkulit putih manakala 63 peratus daripada tembakan beramai-ramai dilakukan oleh lelaki berkulit putih sejak 1982.
"Perbualan ini perlu berlaku melebihi garisan perkauman dan agama. Sebuah komuniti agama tidak patut didakwa dan tanggapan itu sedang berlaku dalam media sosial,’’ tambahnya.
Selain itu, dalam satu tinjauan umum oleh Reuters/Ipsos berhubung isu penduduk Islam Amerika selepas serangan di Paris dan San Bernardino menunjukkan, sebanyak 51 peratus rakyat AS menganggap orang Islam adalah sama seperti komuniti lain di negara berkenaan.
Hanya 14.6 peratus mendakwa mereka takutkan orang Islam.
Sementara itu, kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab dalam serangan tembakan di California, lapor portal Mirror.co.uk yang memetik laporan agensi berita Aamaq yang menyokong kumpulan itu dalam laman web mereka semalam.