Search This Blog

Sunday, December 6, 2015

IS: Lima individu termasuk 
warga Eropah ditahan


06 Disember 2015 1:09 AM
 

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu terdiri daripada empat warga asing termasuk seorang lelaki warga Eropah dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Difahamkan, ini merupakan kali pertama melibatkan tangkapan warga Eropah kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan militan oleh PDRM, lebih-lebih lagi selepas insiden pengeboman di Paris, Perancis pertengahan bulan lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek berumur antara 25 hingga 59 tahun itu ditahan oleh sepasukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi yang dilancarkan sejak 17 November hingga 1 Disember lalu di Lembah Klang, Kelantan dan Johor.
Tambahnya, lelaki warga Eropah berusia 44 tahun itu ditangkap di ibu negara dan bekerja sebagai guru sambilan bahasa Inggeris di Pulau Pinang.
Lelaki itu juga disyaki pernah menyertai kumpulan pengganas Al-Qaeda serta terbabit dengan keganasan di Afghanistan dan Bosnia.
“Suspek kedua pula adalah warga Afrika berusia 29 tahun yang ditangkap di Cheras, Selangor. Dia merupakan pelajar kolej swasta di Petaling Jaya.
“Tiga lagi suspek ditangkap iaitu seorang warga tempatan di Kota Bharu, Kelantan manakala dua lagi adalah warga negara Indonesia serta Bangladesh yang juga mempunyai hubungan dengan kumpulan IS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehingga 19 Oktober lalu, seramai 132 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan elemen keganasan terutama IS dengan yang terbaharu melibatkan lima suspek semalam.
Jumlah itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soalan asal Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) berhubung jenayah keganasan di negara ini di Dewan Rakyat pada 19 Oktober lalu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 123 ditangkap kerana terlibat dengan elemen IS yang menyaksikan 22 diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), 38 dibebaskan, 48 didakwa, 14 diusir dan seorang masih dalam siasatan.
Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, suspek lelaki warga Indonesia dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan beberapa rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan IS di Syria.
“Lelaki berkenaan disyaki bertindak sebagai fasilitator bagi mengatur individu dari Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara yang berhasrat menyertai IS di Syria dan beberapa kumpulan pengganas lain di rantau Asia Tenggara.
“Anggota Rela berumur 59 tahun yang bekerja sebagai tukang jahit dipercayai bertanggungjawab merekrut dan mengatur anggota-anggota baharu sel ini untuk terlibat dengan aktiviti keganasan di luar negara,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) kerana melakukan kesalahan berkaitan keganasan serta Akta Imigresen 1959/63 untuk tujuan pengusiran.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/is-lima-individu-termasuk-8232-warga-eropah-ditahan-1.166005#sthash.c5PsjfuL.dpuf

No comments:

Post a Comment