Menurut dokumen diperoleh AFP, polis pada mulanya menahan Arif Hodayatullah berhampiran ibu negara kerana memandu tanpa le­sen dan menemukan beberapa buah buku tentang cara membuat bom di dalam kenderaan tersebut.
Pasukan polis anti-keganasan seterusnya menggeledah rumah suspek di Jawa Barat dan berjaya menahan seorang lelaki etnik Uighur dikenali sebagai Alli selain merampas jaket berisi bahan letupan serta peralatan membuat bom.
“Kami juga menemukan satu peta di mana lokasi serangan akan dilancarkan. Polis perlu menyiasat dengan lebih mendalam kalau-kalau ada lokasi lain menjadi sasaran,” ujar jurucakap polis, Anton Charliyan.
Seorang sumber polis yang enggan dikenali berkata, Alli dipercayai pakar membuat bom dan terpilih untuk melakukan serangan nekad.
Sementara itu, Arif pula memberitahu pasukan polis, dia dia­rahkan oleh lelaki dikenali sebagai Bahrunnaim, seorang anggota kumpulan militan yang menetap di Syria dan membantu rakyat tempatan yang mahu menyertai militan Negara Islam (IS).
Penangkapan dua lelaki itu dilakukan ketika pasukan polis mempertingkatkan kawalan keselamatan selepas menahan beberapa individu yang dipercayai pengganas.
Isnin lalu, polis di Jawa menahan lima suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan IS dan empat daripada individu itu disyaki terlibat dengan rangkaian Jemaah Islamiyah yang bertanggungjawab terhadap beberapa serangan besar di negara ini.
Sebanyak 150,000 anggota tentera dan pasukan polis dikerah sepanjang perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu selain kawalan keselamatan di lapangan terbang turut dipertingkatkan. – AFP