Adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Ah Lee, 50 berkata, mendiang abangnya tidak pernah berhutang dengan sesiapa lebih-lebih lagi jumlah sebanyak itu, sebaliknya, orang lain pula yang berhutang dengannya.
“Pendedahan maklumat polis Thailand mengenai hutang seba­nyak RM4.11 juta itu adalah tidak benar dan kami berasa kecewa de­ngan pendedahan tersebut.
“Saya begitu terperanjat apabila melihat banyak media menyiarkan berita tersebut dan kalau boleh polis Thailand perlu kemukakan cek tendang tersebut kepada kami sebagai bukti,” katanya dalam sidang akhbar bagi menjawab pertuduhan tersebut di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan pendedahan polis selatan Thailand berhubung motif pembunuha Ah Han adalah kerana perselisihan perniagaan melibatkan hutang berjumlah RM4.11 juta dengan seorang ahli perniagaan dari Malaysia.
Maklumat perisikan polis mendapati bahawa mangsa ada masalah hutang sebanyak 35 juta bath yang dibayar menggunakan cek tendang dan telah berlanjutan selama enam bulan, kata Ketua Polis Mukim Thunglung, Kolonel Polis Vichapan Chantraporn.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti ahli perniagaan tersebut.
Ah Han juga dikenali sebagai Ali Baba merupakan ahli perniagaan hartanah yang mati ditembak di daerah Hatyai ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai bersama isterinya Mayuree Thipmani 42 tahun yang cedera parah dalam kejadian tersebut.
Ah Lee yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, dia mahukan pihak polis negara itu menjalankan siasatan dan mengenal pasti dalang pembunuhan abangnya itu dengan segera.
Jelasnya, buat masa ini mereka sekeluarga tidak tahu menahu apakah motif pembunuhan abangnya yang sudah hampir dua tahun menetap di Bangkok itu.
“Mayat Ah Han sudah dibawa pulang ke Alor Setar pada hari ini dan diletakkan di sebuah taman peringatan di Jalan Langgar sebelum disemadikan pada Khamis ini.
“Sementara itu, isterinya yang mengalami kecederaan masih mendapat rawatan di Hospital Hatyai,” katanya yang kali terakhir berjumpa dengan abangnya itu lima bulan lepas.