Lelaki tersebut yang tidak dinamakan, menyaman syarikat perisian Bethesda Softworks sebanyak AS$7,000 (RM30,200) yang menghasilkan permainan komputer Fallout 4 baru-baru ini.
Menurut portal Forbes, lelaki berusia 28 itu mendakwa dia diberhentikan kerja, ditinggalkan isteri, dan jatuh sakit gara-gara ketagih permainan ‘tembak menembak’ tersebut sehingga tidak menghiraukan keadaan di sekelilingnya.
Lelaki itu mendakwa, dia mula bermain Fallout 4 secara suka-suka, tetapi akhirnya ketagih sehingga sanggup bermain tanpa henti selama hampir 200 jam.
Keadaan itu mengakibatkan dia terpaksa bergantung hidup kepada permainan tersebut serta gagal menguruskan diri seperti tidak mandi, berbual dengan keluarga dan rakan seperti kebiasaannya.
Mangsa mendakwa, firma komputer itu tidak pernah mengeluarkan amaran bahaya ketagihan secara psikologi akibat daripada permainan tersebut.
Menurutnya, tindakan saman itu dilakukan kerana dia mengalami tekanan perasaan yang teruk ke-rana kehilangan kehidupan normal selepas mencuba permainan komputer terbabit.
“Sekiranya saya tahu ini akan terjadi kepada saya, mungkin saya membeli permainan ketika musim cuti. Saya kehilangan kerja kerana asyik cuti sakit. Isteri saya tidak tahan dengan ketagihan saya sehingga meninggalkan saya.
“Kesihatan saya juga merosot, diri saya secara fizikal dan mental sudah tidak normal gara-gara permainan video Fallout 4. Kehidupan saya sudah hancur ketika ini,” katanya dalam kenyataan saman yang difailkan minggu lepas.
Sebelum ini, seorang lelaki Amerika Syarikat (AS), Craig Smallwood menyaman sebuah syarikat pengeluar Korea Selatan kerana menyebabkannya ketagih permainan komputer.
Hakim daerah Alan Kay berkata, lelaki berusia 51 tahun itu berhak meneruskan saman terhadap NCSoft Corp. yang mengeluarkan permainan Lineage II sehingga menyebabkan mangsa ketagih bermain lebih 20,000 jam sejak tahun 2004.