Kumpulan berkenaan yang bergerak aktif sejak beberapa bulan lalu dipercayai mencuri 15 buah kereta mewah termasuk Subaru, Porsche dan Volkswagen di sekitar negeri ini, Kedah, Selangor dan Johor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, kumpulan berkenaan yang diketuai seorang lelaki bernama Azri melarikan sebuah kereta Volkswagen berharga RM200,000 di sebuah pusat servis di Bukit Tengah pada 31 Oktober lalu setelah memperdaya pekerja pusat ber­kenaan kononnya mereka diarahkan pemilik mengambil kereta ber­kenaan.
Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek merempuh besi penghadang pusat servis berkenaan selepas pekerja di situ menyedari dua lelaki terbabit memperdayakannya.
“Susulan itu, polis melancarkan operasi memburu dan berjaya menahan suspek utama berusia 28 tahun di Sungai Petani, Kedah bersama teman wanitanya berusia 30 tahun.
“Turut ditahan lima lagi lelaki berusia sekitar 30-an di Kulim, Kedah dan Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Mohd. Zakaria memberitahu, siasatan lanjut menemukan sebuah kereta Porsche berharga RM600,000 di sebuah tempat mencuci kereta di Temerloh, Pahang dan sebuah kereta Subaru berharga RM200,000 di sebuah pusat servis di Kulim.
Ujarnya, bagi mengaburi mata pihak polis, sindiket berkenaan turut menukar nombor pendaftaran kereta itu dengan menggunakan nombor negara jiran.
“Dalam masa sama, polis turut menyiasat kemungkinan 13 kereta yang masih hilang itu telah dibawa ke luar negara atau sebaliknya kerana rekod pasport Azri yang dirampas menunjukkan dia kerap ke Thailand,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Zakaria berkata, suspek utama turut mempunyai 28 rekod jenayah lampau membabitkan cubaan bunuh, samun, kekerasan dan dadah.
Selain itu, tambah beliau, semua anggota sindiket termasuk wanita mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi, samun dan dadah.
Katanya, semua suspek direman selama sehingga lusa dan kes ber­kenaan disiasat mengikut Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan.