Kompas.com melaporkan, penduduk tanpa mengira peringkat usia datang berduyun-duyun ke lokasi dengan membawa peralatan seperti cangkul, penyodok dan bekas untuk mengambil minyak ‘percuma’ tersebut.
“Penduduk mengetahui ada minyak petrol dan diesel keluar dari bibir pantai sejak pukul 3.00 pagi dan kemudiannya beramai-ramai mengambil minyak tersebut,’’ 
kata Adi, 57, ketika ditemui Jumaat lalu.
Adi memberitahu, untuk mengambil minyak petrol, mereka hanya menggali pasir di tepi laut pada kedalaman 50 sentimeter (cm) sedangkan untuk minyak diesel, penduduk perlu menggali lebih dalam iaitu 100 cm.
“Saya sendiri dapat tiga tong minyak, cukuplah untuk wang membeli minuman,’’ katanya.
Tinjauan mendapati, lokasi penemuan minyak itu adalah di pinggir Laut Pante Calok, Kampung Padang Seurahet dengan penduduk dari semua peringkat umur mengambil minyak ‘percuma’ tersebut termasuk kanak-kanak yang masih berpakaian sekolah.
“Kami ambil hanya untuk mengisi dalam tangki minyak motor. Beruntung kami dapat dua botol minyak,’’ kata pelajar SMU Meulaboh, Cici Lena Putri.
Sementara itu, lokasi penemuan minyak oleh penduduk kampung telah ditutup pihak syarikat Pertamina Depo daerah Aceh Barat selepas mendapati minyak yang keluar tersebut datang dari paip mereka yang bocor semasa melakukan kerja-kerja pengepaman.
Ketua Depo Pertamina Aceh Barat, Bastari berkata, sejurus mengetahui berlaku kebocoran, mereka menghentikan operasi pengepaman minyak selepas 30 minit pada pagi Jumaat lalu.
“Paip tersebut berada di daratan dan bukan di dalam laut. Kami sudah hentikan pengepaman dan minyak tidak lagi keluar,’’ tambahnya.