KUALA TERENGGANU - "Sepatutnya mereka berempat sampai kira-kira jam 5 pagi ini tapi sekarang seorang daripadanya telah tiada," kata nenek seorang daripada mangsa kemalangan bas di km124, Lebuhraya Timur Barat berdekatan Jeli awal hari ini. 
Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pak Tuyu di sini, Azizah Umar, 70, kelihatan masih terkejut dengan kemalangan kira-kira 1.40 pagi itu yang menimpa anggota keluarganya. 
[ARTIKEL BERKAITAN: Empat maut dalam kemalangan antara bas, lori]
Insiden itu mengorbankan seorang cucunya, Nur Afiqah Alimi Ali, 19, pelajar jurusan Pelancongan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, manakala tiga lagi cucunya dilaporkan cedera. 
Mereka yang cedera ialah kakak Nur Afiqah Alimi iaitu Nurain Nabila Alimi, 20, dan adiknya, Nurain Nasuha Alimi, 15, serta sepupu mereka Izzu Farhan Mohd Zaidi, 15. 
Azizah berkata keempat-empat cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas menziarahi kakak sulung Nur Afiqah Alimi di Kamunting, Perak sejak Ahad lalu.
Katanya ketika ke Kamunting, mereka turut ditemani ibu mangsa Zalida Adnan, 38, bersama adik bongsu tetapi kedua-duanya pulang lebih awal pada Rabu lalu. 
"Pada mulanya Kak Uda (Nur Afiqah Alimi) tak berhasrat mengikut emaknya sebab dia masih di Kuantan, tetapi tiba-tiba dia beritahu dapat cuti panjang dan ambil keputusan untuk balik ke rumahnya di Kampung Pagar Besi di sini, Jumaat lepas. 
"Sebelum naik bas pada jam 9.30 malam (Ahad), mereka anak beranak bersiap-siap di rumah nenek, Sikap mereka sama sahaja. Kami makan malam dan solat bersama di rumah," katanya. 
Jenazah Nur Afiqah Alimi dijangka dikebumikan di sebelah pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di sini malam ini. - Bernama