KOTA BHARU - Dua remaja lelaki berusia 13 dan 14 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan membabitkan kes kecurian motosikal pada tahun 2009 di Pengkalan Chepa, di sini.
Mereka ditahan di kawasan Kampung Sura, Jeti Dungun, Terengganu sebelum diserahkan kepada pihak polis pada jam 11.45 malam, Ahad lalu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mereka sebelum itu menaiki sebuah motosikal dan ditahan untuk pemeriksaan oleh penduduk yang menjalankan tugas rondaan Persatuan Komuniti Polising di kawasan berkenaan.
“Katanya, semakan ke atas motosikal jenis Nitro yang ditunggang mereka tempoh hari didapati adalah motosikal hilang berkait satu laporan di Pengkalan Chepa.
“Sehubungan itu, kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.  
Dalam pada itu, kedua-dua remaja terbabit dibawa ke mahkamah majistret, di sini, semalam dan dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari bagi membolehkan siasatan dijalankan polis.
Perintah dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Norida Mohd Husain tersebut berkuat kuasa hari ini sehingga 19 Disember depan
.