Anggota penyelamat Indonesia menghampiri karam kargo Thorco Cloud yang karam di perairan Pulau Batam, di Selat Singapura, semalam. REUTERS
SINGAPURA 17 Dis. - Enam anak kapal dilaporkan hilang apabila sebuah kapal kargo yang membawa beratus-ratus tan minyak, karam di Selat Singapura selepas bertembung dengan sebuah kapal tangki kimia, semalam.
Menurut laporan portal ABC yang memetik kenyataan Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA), kapal yang karam itu dikenal pasti sebagai kapal Thorco Cloud yang mengibarkan bendera Antigua and Barbuda dengan membawa muatan 560 tan metrik minyak, sementara kapal tangki kimia yang terlibat pula didaftarkan di Cayman Islands dengan nama Stolt Commitment.
Empat mangsa yang hilang dikenali sebagai warganegara Filipina, sementara dua lagi adalah rakyat Ukraine.
Kejadian pukul 8.14 malam semalam itu berlaku kira-kira 11 kilometer di barat laut Pulau Batam, Indonesia, namun Stolt Commitment hanya mengalami kerosakan kecil.
Jelas laporan itu, tiada tumpahan minyak berlaku akibat insiden tersebut dan pihak berkuasa Indonesia turut menghulurkan bantuan dengan melakukan pemantauan dan memastikan operasi pelayaran di laluan paling sibuk di dunia tersebut tidak terganggu dengan menandakan lokasi kapal terbabit karam.
“Enam anak kapal berjaya diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Besar Singapura.
“Operasi menyelamat dijalankan dengan melibatkan kerjasama MPA, Polis Pengawal pantai Singapura dan Jabatan Pertahanan Awam Singapura,” tambah laporan itu.
No comments:
Post a Comment