Sejurus selepas itu, dia segera memaklumkan kepada penghuni rumah terbabit yang terus menghubungi polis pada pukul 8.50 pagi ini.
Polis yang membuat pemeriksaan turut menemukan mayat seorang lagi wanita warga emas dipercayai ibu lelaki berusia 45 tahun itu yang terbaring di atas katil di bilik bawah rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, tiada sebarang kesan kecederaan ditemukan pada mayat wanita berusia 75 tahun itu yang dipercayai menghidap penyakit berdasarkan penemuan botol ubat berhampiran katilnya.
“Rumah itu didiami lima anggota keluarga, namun ketika kejadian abang lelaki ini keluar bekerja di luar kawasan.
“Jiran mereka yang ingin ke tempat kerja ternampak mayat lelaki itu tergantung pada alang pintu bilik sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Rusli, lelaki itu dipercayai mati antara pukul 1 pagi hingga 8.30 pagi ini dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Jelasnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, anak saudara lelaki itu memberitahu ada terdengar bunyi benda terjatuh dari bilik bapa saudaranya kira-kira pukul 1.30 pagi ini, namun tidak dihiraukan.
“Dia dan ibunya terkejut apabila diberitahu ada mayat tergantung pada alang pintu bilik dihuni bapa saudaranya,” ujarnya.