Search This Blog

Sunday, December 20, 2015

Datuk Seri tipu hidup mewah

Miri: Seorang individu warga asing bergelar Datuk Seri dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket menipu warga asing yang mahu mencari pekerjaan di negara ini.
Difahamkan, ada warga asing yang menjual rumah dan tanah semata-mata untuk menyediakan bayaran AS$8,000 (RM34,240) kepada sindiket berkenaan untuk datang ke negara ini sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.
Ketika mendedahkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu berkenaan hidup mewah dan mempunyai banyak wang dengan menipu warga asing yang terdesak mahu berhijrah ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, individu itu bukan dalam kalangan orang kenamaan (VIP), tetapi menerima anugerah gelaran itu dan berkahwin dengan wanita warga tempatan.
“Kami yakin pembabitan dia dalam kes ini.
“Namun, siasatan lengkap masih dijalankan dan individu terbabit dikenakan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen 2015 di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad dan Masir Kujat serta Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Ahmad Zahid berkata, kementeriannya mengenal pasti 95 peratus warga asing terutama dari Bangladesh diikuti Indonesia dan Myanmar mempunyai dokumen sah memasuki negeri ini sebelum diperdaya sindiket berkenaan apabila tiada pekerjaan diberikan, malah pasport mereka dirampas.
Menurutnya, sindiket berkenaan tidak berperikemanusiaan kerana mengambil peluang terhadap kesusahan orang lain semata-mata untuk mendapatkan wang dengan ada ahli sindiket yang begitu kaya dengan mempunyai kereta dan banglo mewah.
“Saya mahu Jabatan Imigresen memandang serius kegiatan ini. Kami bukan saja mahu membanteras kemasukan pendatang tanpa izin tetapi mengesan dan menghapuskan sindiket yang memeras warga asing,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau mengumumkan pembinaan Kuarters Depoh Tahanan Imigresen Semuja, Serian dengan kos RM60 juta bermula pada 30 Mei tahun depan.
Turut diluluskan pembinaan Pos Kawalan Sempadan Imigresen di Ba’kelalan, Lawas membabitkan kos RM20 juta.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:16 AM


Ahmad Zahid bersama Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim (kiri) tiba di Majlis Sambutan Hari Imigresen Malaysia 2015 di Miri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101323#sthash.2sQoo10R.dpuf

No comments:

Post a Comment