RUMAH mangsa bom ikan roboh apabila bom tersebut meletup dan mengorbankan seorang kanak-kanak di Pulau Bum Bum, Sabah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi semalam, kanak-kanak malang itu, Julpi Elexson, 6, meninggal dunia serta-merta akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Lebih mengejutkan apabila mayat mangsa kemudian dikebumikan oleh ahli keluarganya yang risau kegiatan haram mereka memasang bom ikan dihidu pihak berkuasa.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ekoran kejadian itu, pihaknya menahan bapa mangsa, Elexson Jundai, 50, dipercayai dalang kegiatan haram tersebut.
Menurutnya, semasa laporan awal dibuat, suspek mendakwa rumah mereka didatangi seorang lelaki tidak dikenali sebelum melempar bom hingga meletup.
“Bagaimanapun hasil siasatan dan temu bual orang awam membongkar kegiatan suspek yang aktif melakukan kegiatan memasang bom ikan selain telah mengebumikan anak lelakinya bagi mengelak dicekup pihak polis atas kesalahan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jalaluddin menjelaskan, empat lagi mangsa yang cedera masing-masing Dantai Kaldi, 27; Masitah Elexson, 27; Noaidah Tirun, 20-an, serta adik Masitah, Rashi Elexson, 10, telah mendapatkan rawatan di Hospital Semporna.
Ujar beliau, tiga lagi suspek dipercayai turut mengalami kecederaan telah melarikan diri dan sedang di­buru polis.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan pihaknya ke atas rumah suspek tidak menemukan sebarang serpihan letupan bom dan percaya bukti tersebut telah dibersih­kan suspek.
Tambahnya, siasatan juga mendapati kesemua ahli keluarga itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pihaknya juga akan memohon mahkamah supaya membenarkan pasukan polis menggali semula kubur kanak-kanak malang itu bagi tujuan bedah siasat dan melengkapkan siasatan.
“Setakat ini, kita menahan seorang suspek dan memburu tiga ahli keluarga yang dipercayai terlibat secara langsung dalam pemasangan bom ikan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan,” katanya.