Buat masa ini, tiada kematian dicatatkan dan kemusnahan akibat banjir hanya akan diketahui apabila situasi pulih.
Kementerian Dalam Negeri melaporkan, sebanyak 18 kece­deraan dilapor berkaitan bencana tersebut.
Pegawai Lembaga Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), Anurag Gupta berkata, banjir yang memaksa pembatalan 25 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, mengakibatkan keadaan huru-hara apabila ramai penumpang terkandas.
“Cabaran terbesar adalah bagaimana untuk membersihkan lapangan terbang yang tenggelam dan jalan-jalan utama,” katanya.
Pengasas badan ramalan kaji cuaca swasta, Skymet, Jatin Singh berkata, hujan lebat dijangka berterusan dalam masa 24 jam lagi, keadaan paling buruk dalam tempoh 100 tahun.
Sementara itu, beratus-ratus penyelam dan anggota tentera dikerahkan ke kawasan bencana bagi menyelamatkan mangsa daripada rumah masing-masing dan membawa mereka yang ce­dera ke hospital.
Menurut pihak berkuasa, di­sebabkan mangsa banjir terlalu ramai, ada kalangan penduduk merungut bantuan lewat tiba di kawasan mereka.
Rakaman televisyen turut memaparkan sebahagian mangsa banjir terpaksa memanjat bumbung rumah bagi menyelamatkan diri, mengharungi banjir pada paras dada, serta mengusung warga emas menggunakan pengusung.
Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan memaklumkan, beribu-ribu kilang di pinggir Chennai juga terpaksa ditutup ekoran bencana yang berlaku yang turut menjejaskan bekalan tenaga elektrik. – REUTERS