Paraguay paling terjejas teruk dengan hampir 90,000 mangsa terpaksa dipindahkan, rata-ratanya penduduk miskin yang tinggal di sepanjang tebing Sungai Paraguay, di sini.
Bencana tersebut turut memaksa pihak berkuasa untuk mengisytiharkan darurat di Asuncion dan tujuh wilayah lain.
Beberapa orang turut dilaporkan terbunuh dihempap pokok tumbang ketika angin kencang, namun angka kematian rasmi masih belum dikeluarkan.
Dalam pada itu, hampir 20,000 orang di utara Argentina terpaksa dipindahkan dengan gabenor wilayah Corrientes, Ricardo Colombi berkata, rakyat di negara itu akan berdepan dengan lebih banyak keadaan mencemaskan untuk beberapa bulan berikutan perubahan monsun dan hujan lebat.
Sementara itu, di Uruguay, lebih 9,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, manakala lebih 6,000 lagi ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Brazil akibat banjir.
Dalam perkembangan sama, hujan lebat yang melanda Britain menyebabkan beberapa bahagian di utara negara berkenaan ditenggelami air semalam, sekali gus memaksa ratusan penduduk di kawasan tersebut berpindah dan sekumpulan anggota tentera ditempatkan di kawasan bencana untuk memberi bantuan.
Lancashire yang terletak di barat laut Britain dan Yorkshire di timur laut, paling teruk terjejas dengan pegawai alam sekitar mengeluarkan lebih 300 isyarat di kawasan berkenaan termasuk 20 amaran kemungkinan banjiir besar melanda.
Kira-kira 10,000 buah rumah di wilayah berkenaan terputus bekalan elektrik selepas sebuah stesen pencawang rosak. – AFP/Agensi