Search This Blog

Sunday, December 20, 2015

Anak maut, bapa cedera MPV rempuh treler

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:50 PM


Oleh DJ Dolasoh


GERIK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun maut manakala bapanya cedera dalam nahas membabitkan sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex di Kilometer (KM) 3, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, Rabi'atul Adawiyah Emri Fazliq yang juga penumpang MPV, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala bapanya, Emri Fazliq Mohd, 40, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manap Baharom berkata, siasatan awal polis mendapati treler yang dirempuh MPV berkenaan dipercayai mengalami kerosakan dan kenderaan terbabit berada di laluan sebelah kiri jalan menghala ke Jeli.
"Bagaimanapun selepas kira-kira dua jam berada di bahu jalan, sebuah MPV yang dipercayai dipandu laju dan datang dari arah Gerik menghala Jeli tidak menyedari treler berkenaan rosak kerana keadaan jalan raya yang gelap.
"MPV berkenaan cuba mengelak ke kanan jalan, bagaimanapun ia gagal mengelak dan terlanggar bahagian belakang sebelah kanan treler terbabit.
"Akibat dari rempuhan itu, MPV terbabit mengalami kerosakan teruk dan remuk pada bahagian kiri penumpang dan mengakibatkan penumpang meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah pada bahagian kepala.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.
Abdul Manap berkata, pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan mengenai kes itu masih diteruskan.

No comments:

Post a Comment