Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan (1 petang Malaysia) semasa mangsa Lee Ah Han, 54, dan isterinya berusia 40-an yang juga warga Malaysia dalam perjalanan dari sempadan Malaysia-Thailand di Danok ke Hatyai.
Menurut sumber, semasa tiba di persimpangan lampu isyarat di Ban Khlong Pom, Kanchanawanit Sadao-Hatyai Road iaitu kira-kira 45 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand, kedua-dua mereka yang menaiki kereta Mercedes-Benz didatangi dua lelaki menaiki sebuah kereta.
“Suspek kemudian melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah Ah Han dan isterinya sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber itu, Ah Han yang juga dikenali sebagai Ali Baba, berasal dari bandar ini dan terlibat dalam pelbagai projek hartanah di selatan Thailand meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Dengan bantuan orang ramai, isteri mangsa dihantar ke Hospital Prince of Songkhla University (PSU) untuk rawatan,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pihak berkuasa kira-kira pukul 3 petang.
Katanya, beberapa ahli keluarga juga sedang berada di Hatyai untuk urusan menuntut mayat dan melawat isteri mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil.