KUALA LUMPUR 19 Dis. - Ratusan ribu syarikat di seluruh negara kini terdedah dengan ancaman penipuan baharu apabila pihak berkuasa mengesan satu sindiket yang digelar African Hacker yang telah mengakibatkan kerugian sejumlah RM45 juta, hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Difahamkan, sindiket penipuan baharu ini berupaya untuk menggodam e-mel syarikat bagi memperoleh keuntungan secara tidak sah daripada entiti perniagaan di Malaysia.
Lebih memeranjatkan, nilai kerugian yang dicatat itu mungkin lebih besar ekoran masih terdapat banyak syarikat tidak membuat laporan polis kerana tidak menyedari wujudnya penipuan.
Sumber memberitahu, kerugian yang dialami itu dikesan bukan sekadar terjadi kepada syarikat kecil malah turut melibatkan syarikat korporat besar yang mempunyai aset bernilai jutaan ringgit.
Sindiket African Hacker ini pada mulanya dikesan sejak beberapa tahun lalu dan hanya terhad pada nilai kerugian yang kecil tetapi menurut sumber, sejak kebelakangan ini, penipuan terbabit berada pada tahap serius kerana mangsa demi mangsa tampil membuat laporan polis kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kata sumber, penipuan itu berlaku setelah pakar teknologi maklumat (IT) yang dipercayai dari Nigeria menggodam e-mel milik syarikat atau pekerja syarikat untuk memperoleh segala maklumat yang kemudian digunakan bagi transaksi tunai secara tidak sah.
Suspek yang biasanya terdiri daripada pakar IT Nigeria menyasarkan akaun e-mel milik syarikat atau pekerja syarikat yang berpotensi untuk membuat transaksi pengeluaran wang dengan jumlah besar.
“Modus operandi mereka juga dikesan mudah iaitu hanya menggodam e-mel seorang bos atau pembuat keputusan di sesebuah syarikat lalu menyamar sebagai individu terbabit untuk berinteraksi dengan pekerja syarikat melalui e-mel.
“Pekerja syarikat yang biasanya daripada bahagian kewangan atau akaun tidak menyedari e-mel yang dihantar itu adalah daripada penggodam dan menuruti segala arahan seperti membuat transaksi sejumlah wang tunai ke dalam satu akaun asing atas kehendak ‘bos’.
“Dalam beberapa kes, penggodam atau ahli sindiket ini akan ‘mencelah’ perbualan melalui e-mel antara syarikat dengan pelanggan, seterusnya mengarahkan pelanggan membuat transaksi tunai ke dalam sebuah akaun. Apabila barang atau servis tidak sampai, barulah kedua-dua pihak menyedari wujudnya penipuan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Sumber turut memberitahu, proses penggodaman oleh African Hacker tidak disedari oleh pekerja syarikat atau pelanggan kerana mangsa hanya mengikut arahan, melainkan mereka menghubungi dahulu orang yang bertanggungjawab untuk mengesahkan transaksi tersebut namun dalam banyak kes, pekerja hanya menghubungi ketua mereka selepas transaksi ke dalam akaun asing dilakukan.
Mengulas lanjut, kata sumber, pada tempoh Januari hingga Jun tahun ini, PDRM mengesan kerugian sebanyak RM45 juta dengan RM44.3 juta melibatkan syarikat berdaftar di negara ini.
“Sindiket terbabit turut memperdaya individu dengan modus operandi yang seakan-akan sama seperti menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga mangsa. Mereka (suspek) akan berhubung melalui e-mel untuk meminta sejumlah wang. Mangsa yang kasihan akan memasukkan wang ke dalam akuan asing dengan segera.