Search This Blog

Wednesday, December 30, 2015

58 juta pokok di AS diancam kemarau




KIRA-KIRA 58 juta batang pokok besar di California terancam akibat kemarau. - GAMBAR HIASAN


WASHINGTON - Sejumlah 58 juta batang pokok besar di California terancam akibat kemarau terburuk pernah melanda negeri itu sejak 2011, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.
Walaupun fenomena cuaca El Nino menghasilkan lebih banyak hujan, hutan-hutan di California mungkin mengalami perubahan kekal akibat perubahan iklim dunia, jelas laporan tersebut.
Selain kekurangan air, suhu tinggi dan serangga perosak dikenali sebagai kumbang kulit kayu turut meningkatkan risiko kemusnahan hutan, kata laporan yang disiarkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
“California bergantung kepada hutannya untuk bekalan air dan simpanan karbon di samping produk balak, pelancongan dan rekreasi. Hutan-hutan ini amat penting secara ekologi, ekonomi dan budaya,” kata pakar ekologi Institut Carnegie, Greg Asner.
“Kemarau ini menyebabkan hutan-hutan terbabit berdepan bahaya besar secara jangka panjang dan boleh memberi impak kepada habitat haiwan serta biodiversiti,” tambahnya.
Kajian itu memantau hutan-hutan di California menggunakan peralatan pengimejan berpandukan laser.
Kumpulan penyelidik terbabit mendapati sekitar 10.6 juta hektar hutan dengan sehingga 888 juta batang pokok besar, termasuk pokok kayu merah Sequoias yang terkenal telah menghadapi kekurangan air teruk antara 2011 hingga 2015.
Daripada jumlah tersebut, sehingga 58 juta batang pokok telah menghadapi kekurangan air yang diklasifikasikan sebagai sangat berbahaya kepada kelangsungan jangka panjang hutan terbabit. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3vkpXQ3Tr 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment