KUALA LUMPUR 20 Dis. – Dua lelaki direman empat hari selepas dipercayai terlibat dalam insiden pertengkaran sehingga mengakibatkan seorang kakitangan Astro Awani parah ditikam di sebuah kondominium di PV20, Jalan Usahawan, Setapak, di sini kelmarin.
Zainuddin Ahmad
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 25 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 23 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.
“Kesemua suspek tersebut yang juga penganggur ditahan pada pukul 2 petang semalam di Setapak. Kita juga sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ketika ditanya kemungkinan pertengkaran berpunca daripada suspek membawa anjing ke rumah mangsa, Zainuddin memberitahu, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam Jumaat lalu, mangsa, Mohd. Hawari Zakaria, 33, yang bertugas sebagai pengurus pentas dipercayai ditikam oleh seorang wanita yang juga rakan kepada jirannya di bahagian perut dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kejadian berlaku selepas mangsa dipercayai berselisih faham dengan sekumpulan lelaki di hadapan dua pengawal keselamatan yang sebelum itu dihubungi oleh seorang penghuni kondominium terbabit untuk meleraikan pergaduhan.
No comments:
Post a Comment