Search This Blog

Wednesday, December 2, 2015

17 maut banduan bergaduh di Guatemala



REUTERS - SEORANG anggota polis mengejar seorang banduan yang cuba melarikan diri dengan memanjat pagar di penjara Granja Penal di Guatemala kelmarin.


ESCUINTLA – Seramai 17 orang terbunuh dalam pergaduhan di sebuah penjara kawalan ketat di Guatemala, kata pihak berkuasa kelmarin ketika beratus-ratus anggota polis berusaha mengawal keadaan.
Anggota tentera dan polis mengepung penjara Granja Penal Canada itu yang menempatkan 3,100 banduan susulan keganasan pada Ahad lalu.
Polis memasuki kawasan penjara untuk mengumpulkan kesemua banduan dan mencari senjata api. Wakil agensi berita AFP pula melaporkan melihat beberapa kumpulan banduan diarahkan berdiri atau duduk sambil diawasi anggota keselamatan yang memegang cota.
Lebih 2,000 anggota polis dikerahkan ke penjara tersebut dengan dibantu berpuluh-puluh askar dan beberapa kereta perisai. Kawasan itu dikelilingi tiga baris pagar keselamatan, salah satu daripadanya mempunyai arus elektrik.
Sementara itu, jumlah kematian dalam kejadian itu meningkat daripada 16 kepada 17 orang selepas seorang lagi banduan meninggal dunia di sebuah hospital kerajaan akibat kecederaan yang dialaminya, kata seorang pegawai daripada pejabat peguam daerah.
Rusuhan di penjara itu dipercayai berpunca daripada satu perlawanan bola sepak di padang penjara tersebut.
“Ketegangan antara banduan biasa dan banduan yang suka membuli akirnya memuncak,” kata seorang ketua polis yang enggan dikenali kepada AFP.
Pergaduhan itu berlaku ketika waktu melawat, menyebabkan isteri dan teman wanita banduan-banduan terbabit bertempiaran lari, sebahagian daripada mereka membawa anak kecil.
“Kami boleh mendengar bunyi tembakan di merata tempat dan saya berjaya lari keluar bersama tiga anak tetapi terpaksa masuk semula untuk mendapatkan seorang lagi anak,” kata seorang pelawat, Heidy Solares kepada AFP.
Wanita itu bagaimanapun tidak tahu apa yang berlaku terhadap suaminya, Estaban yang merupakan banduan di penjara tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3t7Kxs0DM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment