Seorang wanita terpaksa ditenangkan jirannya selepas rumahnya musnah akibat ribut dan puting beliung di Holly Springs, Mississippi, tiga hari lalu. REUTERS
CHICAGO 26 Dis. Pasukan penyelamat dan penduduk semalam melakukan kerja-kerja membersihkan runtuhan beribu-ribu rumah selepas ribut dan puting beliung membadai sebahagian besar tenggara Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan sekurang-kurangnya 14 orang maut dan berpuluh-puluh lagi orang cedera.
Bencana alam tersebut mengakibatkan kemusnahan teruk termasuk di kawasan luar bandar dari Alabama hingga ke Illinois ketika penduduk negara ini akan menyambut kedatangan Krismas.
Lebih 12 kejadian puting beliung dilaporkan di enam negeri, dengan Mississippi dan Alabama merekodkan kemusnahan paling teruk.
Agensi pengurusan kecemasan Mississippi mengesahkan tujuh orang terbunuh dan 60 lagi cedera manakala seorang masih hilang.
“Banjir kilat dan ribut dilaporkan di lima daerah hari ini dan kami masih menilai tahap kerosakan,” kata jurucakap agensi tersebut, Brett Carr kepada AFP.
Ketua Pasukan Bomba, Kenny Holbrook memberitahu, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun merupakan antara mangsa terbunuh di Mississippi selepas kereta yang dinaikinya terbabas akibat ribut kuat.
Beliau berkata, ribuan penduduk di Holly Springs terpaksa menyambut Krismas tanpa bekalan elektrik.
Menurut jabatan bomba Columbia, enam kematian telah disahkan di Tennessee, termasuk tiga mangsa ditemukan di dalam kereta yang tenggelam di dalam sebatang sungai.
Gabenor Mississippi, Phil Bryant dan Gabenor Alabama, Robert Bentley masing-masing mengisytiharkan perintah darurat di bandar masing-masing selepas teruk dilanda ribut. – AFP
No comments:
Post a Comment