Search This Blog

Thursday, November 12, 2015

Tanah runtuh di Lebuh Raya KL-Karak


Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.


BENTONG – Sebahagian laluan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini ditutup kepada pengguna ekoran tanah runtuh di Kilometer 52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi lewat petang semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.18 malam itu dipercayai berlaku kerana banjir kilat akibat kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal Lentang yang terletak berdekatan lokasi itu.
Ekoran insiden tersebut, kenderaan tidak dapat bergerak sehingga mengakibatkan kesesakan teruk laluan menghala ke Kuala Lumpur.
Pengendali lebuh raya itu, Anih Berhad dalam satu kenyataan berkata, laluan di kedua-dua arah ditutup sebagai langkah keselamatan dengan keadaan cuaca dilaporkan masih hujan selepas kejadian.
Pengguna dari arah Kuala Lumpur diminta supaya menggunakan jalan alternatif laluan dalam di Bukit Tinggi atau Kawasan Rehat Lentang manakala pengguna dari arah Kuantan boleh menggunakan jalan dalam dari Bentong Timur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor mengesahkan tiada kerosakan membabitkan harta benda dan nyawa dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua laluan masih belum boleh dilalui dan jentera MTD Prime Sdn. Bhd. sudah tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 8 malam tadi untuk melakukan kerja pembersihan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3rE90r6Te 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment