Semua defendan termasuk seorang pegawai tentera berpangkat Jeneral, dihadapkan ke sebuah mahkamah di Bangkok untuk sebutan kes berkenaan yang menggemparkan seluruh dunia susulan penemuan 30 mayat dalam satu kubur besar di sempadan Thailand-Malaysia pada Mei lalu.
Sebuah lagi mahkamah ditugaskan untuk mengambil kete­rangan kira-kira 500 saksi dalam tempoh empat hari walaupun seorang pegawai mahkamah terbabit mendakwa tempoh itu sangat singkat dan mustahil dilakukan.
Penyelidik Pemantau Hak Asasi Manusia di Thailand, Sunai Phasuk berkata, proses mengambil keterangan saksi kes tersebut dijangka memakan masa lebih dua tahun.
“Satu perkara yang jelas adalah perbicaraan ini akan memakan masa yang lama dan semua saksi perlu berasa selamat serta dilin­dungi.
“Mereka yang dibicarakan hanya sejumlah kecil pedagang haram dan pihak berkuasa Thailand perlu meneliti lebih lanjut siasatan untuk menangkap lebih ramai suspek,” katanya.
Semua 88 suspek dibawa ke mahkamah menggunakan dua buah bas, termasuk dua lelaki yang dipercayai merupakan ketua sindiket pemerdagangan manusia.
Pelarian kebanyakannya mereka merupakan etnik Rohingya yang melarikan diri dari timur Myanmar dan Bangladesh akibat ditindas, sering mengambil risiko belayar di laut menuju ke Malaysia dan Thailand.
Mereka sering menjadi mangsa sindiket terbabit yang meminta wang tebusan dan ditahan di kem tahanan selain didera atau dibiarkan kelaparan jika gagal meme­nuhi tuntutan. – REUTERS