Search This Blog

Wednesday, November 11, 2015

Suami isteri berhadapan detik cemas diacu pisau


Suami isteri berhadapan detik cemas diacu pisau

11 NOVEMBER 2015
Suami isteri berhadapan detik cemas diacu pisau Seorang pegawai syarikat perumahan yang kerugian RM15,000 menunjukkan kain pengikat langsir yang diguna perompak bertopeng dan bersenjatakan pisau untuk mengikat beliau dan isteri, di kediaman mereka di Putrajaya. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sepasang suami isteri berdepan detik cemas kira-kira 40 minit apabila kediaman mereka di Presint 15 di sini, dimasuki empat perompak bertopeng dan bersenjatakan pisau, awal pagi tadi.

Menurut mangsa yang enggan identitinya dikenali berkata suspek memasuki rumahnya dengan mengumpil pintu belakang, sebelum ke tingkat atas dan menuju ke bilik utama.

"Kejadian berlaku kira-kira 5.30 pagi ketika saya bangun bersiap ke surau di Presint 14 untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

"Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki saya serta isteri menggunakan dawai elektrik dan pengikat langsir sebelum bertanya di mana wang tunai dan barang berharga disimpan," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Mangsa yang berkhidmat di syarikat milik kerajaan berkaitan pembinaan rumah mampu milik, berkata beliau turut merayu kepada perompak terbabit agar tidak mengapa-apakan tiga anaknya yang sedang tidur di bilik bersebelahan.  

Katanya, suspek melarikan wang tunai RM3,000, barang kemas, beberapa jam tangan berjenama dan empat telefon bimbit dengan kerugian dianggar berjumlah RM15,000.

Mangsa yang berusia 38 tahun berharap agar pihak polis dapat meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan perumahannya memandangkan sudah lima kes samun berlaku di kawasan berkenaan, sejak awal tahun ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment