Permohonan maaf itu dibuat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab dengan kehadiran Mohamad Salleh.
Sehubungan itu, kes saman fitnah yang difailkan Mohamad Salleh, 66, terhadap Shamsu­bahrin, 49, selesai hari ini dengan mahkamah merekodkan penyelesaian tersebut dan membatalkan writ saman serta pernyataan tuntutan tanpa sebarang kos.
Permohonan maaf yang dibaca Shamsubahrin itu menyebut beliau memohon maaf dan menyesal terhadap sebarang tohmahan yang menjejaskan imej dan reputasi Mohamad Salleh.
“Sebagai tanda keikhlasan dan mengetepikan perbezaan yang pernah wujud antara kami, saya memohon maaf dan menyesal terhadap sebarang tohmahan yang memalukan, memberi tekanan serta ketidakselesaan terhadap beliau (Mohamad Salleh) yang berpunca daripada kenyataan dalam laman sosial Facebook milik saya seperti dalam pernyataan tuntutan,” katanya.
Shamsubahrin juga berjanji tidak akan mengulangi kenyataan tersebut atau yang hampir sama dengannya melibatkan Mohamad Salleh, isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tiga anaknya, NFCorp, National Meat & Livestock Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.
Mohamad Salleh kemudian menerima permohonan maaf itu di samping turut memohon maaf terhadap Shamsubahrin.
“Saya memaafkan Shamsubahrin dan memohon maaf kepada beliau dan saya tidak pernah membuat sebarang laporan polis menuduhnya menipu saya,” kata beliau.
Terdahulu peguam Al Firdaus Shahrul Naing yang mewakili Mohamad Salleh memaklumkan, kedua-dua pihak telah bersetuju mencapai suatu penyelesaian dan perdamaian berdasarkan terma-terma tertentu dan telah bersetuju untuk tidak memohon sebarang perintah berkenaan kos.
Peguam J. Leela yang mewakili Shamsubahrin kemudian mengesahkan penyelesaian kes saman itu.
Mohd. Zaki turut menyatakan kegembiraannya setelah kes tersebut selesai dengan cara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Terima kasih kepada pihak terlibat kerana telah menyelesaikan perkara ini dengan baik,” ka­tanya yang kemudian bertanya kepada kedua-dua pihak sama ada mahu bersalaman.
Shamsubahrin yang kelihatan ceria kemudian berjalan ke arah Mohamad Salleh dan bersalaman serta memeluknya sambil mengucapkan terima kasih kerana mahu menyelesaikan kes tersebut.
Mohamad Salleh turut diwakili peguam, Syed Ismat Syed Muhamad manakala peguam Zarina Ismail turut mewakili Shamsubahrin.
Pengerusi Eksekutif NFCorp itu memfailkan saman terhadap Shamsubahrin pada 3 Julai lalu atas dakwaan memuatkan naik kenyataan berunsur fitnah tentang dirinya dalam Facebook milik Shamsubahrin atas nama Shamsubahrin Ismail Tom antara 19 Mei dan 23 Jun lalu, yang boleh diakses oleh orang ramai.
Beliau berkata kenyataan-kenyataan fitnah itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh, pada 18 Mei lalu, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan empat kali terhadap Shamsubahrin atas dakwaan me­nipunya membabitkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram.
Semalam, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohamad Salleh daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan menggunakan dana syarikat selepas Jabatan Peguam Negara menerima permohonan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.