Search This Blog

Saturday, November 14, 2015

Polis tahan pemandu lori rempuh palang tol Bentong


13 NOVEMBER 2015


BENTONG - Gara-gara kurang sabar, seorang pemandu lori merempuh palang Plaza Tol Bentong dan menceroboh laluan KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, yang masih ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir lumpur Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian pukul 2.15 petang tadi lelaki yang berasal dari Banting, Selangor itu adalah antara lebih 20 pemandu lori yang ada antaranya sudah dua hari terkandas di situ akibat kejadian banjir lumpur di lebuh raya berkenaan.

"Suspek kemudian secara tiba-tiba bertindak memecut kenderaannya dan melanggar palang Plaza Tol Bentong menghala ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, tindakan suspek memakan diri apabila ditahan polis kira-kira 10 minit kemudian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Bentong untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa melakukan perbuatan itu kerana tidak sabar berikutan perlu ke ibu kota untuk membuat penghantaran.

"Dia kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan akan didakwa di mahkamah dalam waktu terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Mansor menasihatkan pengguna jalan raya mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung penutupan laluan berkenaan untuk keselamatan orang ramai.

"Bagi pemandu lori yang terkandas di plaza tol... jika perlu bantuan, kita boleh memberikan mereka makanan dan minuman.

"Bagaimanapun, mereka perlu mengikut arahan pihak berkuasa kerana ia bagi mengelakkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment