BAYI yang ditinggalkan di Terminal Sentral Kuantan, Pahang, semalam. WHATSAPP
Sasani Besar, 52, menemukan bayi itu selepas memeriksa satu daripada pintu tandas wanita dan terkejut melihatnya yang ditinggalkan dengan hanya diselimuti kain batik kira-kira pukul 12.40 tengah hari.
Katanya, sebelum menjumpai bayi tersebut, dia menyedari kehadiran seorang gadis yang memasuki tandas awam berkenaan dengan mengendong sesuatu di dalam kain batik.
“Tidak lama kemudian, gadis itu dilihat keluar dari tandas tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa. Saya masuk bersama seorang lagi rakan untuk membersihkan tandas dan menjumpai bayi perempuan ini,” katanya ketika di sini.
Menurut Sasani, dia seterusnya memanggil seorang pemandu teksi yang kebetulan berada berdekatan dengan tandas untuk membawa bayi itu keluar dan meletakkannya di pejabat mereka.
“Seorang daripada pemandu teksi menghubungi polis untuk tindakan susulan. Saya percaya bayi itu baru dilahirkan walaupun sudah hilang kesan darah daripada badan tetapi masih terdapat cecair putih menyerupai selaput di kepalanya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan berhubung penemuan tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.